Wednesday, 9 October 2013

The Chini Saga : ‘Saya rela tanggung risiko

Oleh Norhayati Nordin

   Penjelasan serius Mohd Rafeezi mengenai konsep filem animasi The Chini Saga yang akan dihasilkannya.

Perkembangan industri perfileman tanah air yang semakin menunjukkan peningkatan positif kini menjadi pemangkin semangat kepada lebih ramai penerbit dan pengarah baru muncul untuk mengetengahkan karya terbaik mereka di layar perak.
Apatah lagi, sekarang filem genre animasi juga semakin mendapat perhatian di hati penonton tempatan. Justeru, karya terbaru yang akan pasti membawa tarikan ramai tentunya filem animasi The Chini Saga.
Filem yang akan mengetengahkan kisah mitos membabitkan lagenda naga di Tasik Chini, Pahang itu, bukan saja dijangka bakal menelan belanja membabitkan belasan juta ringgit, namun apa yang pasti ia menjanjikan satu kelainan tersendiri.

Di bawah penerbitan produksi baru, Versaeye Consultant (VC) yang dianggap cukup berani menanggung risiko kerana sanggup membelanjakan jumlah kewangan besar demi menghasilkan sebuah filem mungkin harus dipuji.
Apatah lagi, ia juga membabitkan penyertaan enam negara iaitu Malaysia, Brunei, Thailand, Indonesia, China dan India yang turut menunjukkan minat terbabit dalam penghasilan filem animasi hebat ini.

Penerbit, pengarah dan penulis skrip yang bertanggungjawab untuk merealisasikan karya ini, Mohd Rafeezi Mohd Zin atau lebih dikenali dengan panggilan pVeeZi berkata sebelum dia benar-benar bersedia mengetengahkan karya mitos lagenda naga itu ke layar perak, kajian sudah dibuat sejak empat tahun lalu.

“Saya lebih dulu melakukan kajian menyeluruh untuk filem ini berikutan kos akan digunakan besar iaitu mencecah RM17 juta dan ia juga membabitkan pelakon bertaraf antarabangsa dari enam negara Asia.

“Selain itu, filem ini juga dijangka akan menggunakan kira-kira 90 peratus sepenuhnya teknik pengimejan komputer (CGI) seperti penghasilan filem Hollywood seperti Transformers atau Avatar.

“Manakala, di negara ini, penggunaan CGI pernah dilakukan dalam beberapa filem terbitan KRU Studios seperti Cicakman, Hikayat Merong Mahawangsa, Magika dan 29 Februari. Bahkan, ia dilihat berjaya,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena pelancaran filem itu di di Restoran Hadramawt, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Mohd Rafeezi, memandangkan dia memiliki kepakaran dalam bidang pembuatan perisian komputer, maka katanya penggunaan CGI sebenarnya memiliki kelas kualiti tersendiri.

Ujarnya, dia berminat menghasilkan kembali dalam versi baru kisah mitos naga di Tasik Chini ini kerana yakin betapa penonton tempatan pasti menanti-nantikannya. Jelasnya lagi, filem itu bakal menampilkan epik kenegaraan, pengembaraan, dan fantasi yang menerapkan unsur warisan serta budaya.


Proses praproduksi filem sudah giat dilakukan

Memaklumkan pihaknya kini lebih menumpukan kepada sesi uji bakat untuk mendapatkan lebih ramai pelakon yang bagus di negara ini, Mohd Rafeezi berkata proses perbincangan juga giat dilakukan dengan beberapa pelakon terkenal tanah air seperti Maya Karin, Datuk M Nasir, Johan Raja Lawak dan Nasir Bilal Khan.

“Apapun, bersandarkan pengalaman 15 tahun saya dalam bidang seni serta projek filem animasi ini juga mendapat sokongan kuat kerajaan membuatkan saya membuka ruang untuk cuba membawa karya The Chini Saga ke pasaran luar negara.

“Justeru, atas kerjasama dijalin dengan beberapa negara Asia lain untuk menjayakan projek filem ini, tidak ketinggalan The Chini Saga juga akan menampilkan kemunculan salah seorang bintang siri popular Hollywood, Smallville, Kristin Kreuk.

“Pemilihan Kristin dibuat berdasarkan cadangan daripada Pinewood Studios Group Amerika Syarikat yang akan turut memantau semua hasil kerja untuk filem ini nanti,” katanya.

Menurut Mohd Rafeezi, sebagai penggiat baru yang memiliki daya saing tinggi untuk mencuba nasib di layar perak, pihaknya cukup berbangga dengan sambutan kerjasama baik diterima itu.

Katanya, bagi memastikan karyanya itu bersesuaian dengan jalan cerita The Chini Saga, dia kini dalam proses mengumpulkan pelbagai barangan antik dari seluruh dunia seperti senjata, pakaian perang, perisai dan kereta kuda yang dirasakan sesuai sebagai peralatan props asli menggambarkan situasi abad ke-14.

Masih lagi turut membuka ruang pencarian pelakon baru berbakat, Mohd Rafeezi berkata sesiapa yang berminat untuk terbabit menjayakan filem animasi The Chini Saga, boleh muat naik video mereka ke laman rasmi di www.thechinisaga.com.